Ahad
03 Ogos 2008
Jam 8.00 pagi
S
eperti biasa, sebelum memulakan tugas, penulis bersama dengan Encik Idrul Hisham dan Tuan Haji Ahmad Zahari keluar ke gerai yang ada di sekitar Gong Badak untuk minum pagi. Yalah, mesti isi minyak dulu, kalau tidak tak boleh jalan. Encik Idrul Hisham menceritakan kisah pemergiannya ke Kuala Jengal, Pasir Raja dan Bumbung Raja untuk menjayakan program Pensiangan dan Salinatan.
Apa yang menarik di samping motivasi, tempat itu merupakan salah satu stesyen persinggahan pahlawan-pahlawan zaman silam seperti Mat Kilau, Tok Gajah dan Datuk Bahaman. Dari Pasir Raja ke Hulu Tembeling hanya lebih kurang enam puluh kilometer sahaja. Menunjukkan bahawa di zaman dahulu telah berlaku hubungan yang erat di antara orang Terengganu dengan Pahang.
Menurut Encik Idrul penduduk di Kampung Pasir Raja kebanyakannya mempunyai hubungan kerabat dengan keluarga diraja negeri Pahang.
“Seandainya saya rakyat Terengganu, tempat yang pertama saya jadikan sebagai tapak kajian sejarah ialah Kuala Jengal dan Pasir Raja”.
Tegas Encik Idrul. Penulis sangat tertarik dengan kata-kata tersebut dan pernah mendengar kisah ekspedisi mencari jejak pahlawan yang dianjurkan oleh satu pertubuhan di negeri Pahang.
Menurutnya lagi, ada beberapa perkara yang perlu ditonjolkan di sana, di antaranya ialah kesan arkeologi yang perlu dipelihara dan dinobatkan sebagai bahan sejarah supaya dapat dinikmati bersama oleh masyarakat umum. Kedua perlu ada usaha merintis semula laluan para pejuang kebenaran ini mengikut track asal dengan mengekalkan segala pananda arah yang pernah digunakan oleh mereka sebagai jalan pintas dari Hulu Tembeling ke Terengganu. Ketiganya ialah ketinggian ilmu dan amal yang dimiliki sehingga mampu menghadapi cabaran yang begitu getir dalam suasana yang serba susah berhadapan dengan penjajah. Mereka dapat kekal dan keimanan tidak tergugat. Keempat ialah pemikiran strategik yang dimiliki semasa berperang menentang penjajah di samping memilih tempat untuk berlindung di sekitar perkampungan Pasir Raja dan Bumbung Raja. Hingga kini seandainya kita berada di sana mengikut cerita Encik Idrul pasti akan terbayang ianya semacam sebuah perkampungan purba yang amat nostalgik.
Pada penulis ini semua sangat menarik untuk dijejak semula, tetapi bukan sekadar paparan biasa. Apa yang penting ialah melihat secara yang tersurat dan tersirat.
Penulis turut gatal-gatal mulut menyebut:
“Apa yang tersurat, Mat Kilau, Tok Gajah dan Datuk Bahaman kadangkala disebut pahlawan. Tetapi yang tersirat mereka sebenarnya lebih dari itu. Pada hemat penulis mereka sebenarnya juga adalah terdiri daripada orang-orang yang amat dalam pengetahuan agamanya. Cuma pada ketika itu suasana menuntut mereka untuk bangkit mengangkat senjata menentang penjajah, maka kepahlawanan yang lebih terserlah. Andai kata suasana aman, mungkin mereka akan membuka pondok untuk mengajar seperti mana yang dilakukan oleh al Marhum Engku Sayyid Paloh atau Haji Abdul Rahman Limbong”.
Kata-kata penulis turut diiyakan oleh Tuan Haji Ahmad Zahari:
“Benar, kadangkala kita hanya melihat dari peristiwa biasa dan jarang melihat ke sudut dalaman yang diamalkan oleh tokoh-tokoh ini. Sebab itu pada saya, sangat penting kita membaca semula sejarah-sejarah mereka untuk diambil iktibar dari perjuangan. Bahkan sepatutnya menjadi suatu rukun untuk keluarga kita membacakan kisah-kisah mereka kepada anak-anak sebelum tidur. Malah orang putih menyebutnya sebagai ‘bed-time story’. Biar mereka lena dalam suatu bekalan yang penuh makna”
Lebih dekat lagi kita lihatlah ketika mereka lari berlindung ke Terengganu, ke mana hala tuju?. Mereka tidak pergi sebarang tempat, melainkan di perkampungan Tok Ku Paloh di Paloh. Pernah seorang sahabat memberitahu, peristiwa yang berlaku di Masjid Kampung Pulau Tawar, Jerantut. Seorang tua yang dilihat sentiasa menjadi pengunjung tetap masjid. Anihnya orang tua tersebut memilih hanya satu tempat sahaja dalam masjid itu untuk melakukan ibadat, samada solatul layl atau solat wajib, tidak pernah memilih tempat lain dalam masjid tersebut. Orang tua itulah kemudiannya menggemparkan masyarakat dengan mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau. Di tempat pilihan itulah beliau berdiri dengan menyatakan perisytiharan bersejarah.
Sahabat tersebut pernah mengadakan qiayamul layl dan turut bertahajjud di tempat al marhum Mat Kilau berdiri, katanya:
“Ikhlas cakap, saya tidak pernah merasai suatu nikmat tahajjud seperti mana yang diperolehi pada tempat al marhum berdiri”.
Penulis bercita-cita untuk ke sana, tetapi hingga kini masih belum tercapai. Pernah suatu ketika, semasa balik dari menjalankan tugas di Kuantan, untuk mengelakkan jemu dan mengantuk semasa memandu, penulis telah menumpangkan seorang pelajar pondok dalam perjalanannya ke Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan. Penulis bertanya berapa umurnya. Katanya sekitar tiga puluh enam tahun. Dalam perbualan penulis mendapat tahu ia berasal dari Kampung Peramu, Kuantan. Sekarang masih belajar dan sekaligus cuba menjadi kepala ‘muthala`ah’ kepada rakan-rakan semasa di pondok tersebut. Panjang beliau menceritakan kisah nasib bangsanya di Pahang. Sebelum berpisah, penulis memberi tempoh empat tahun sahaja lagi untuk belajar, lepas tu balik ke Peramu, buka pondok, sambung semula cita-cita para pejuang kebenaran yang tidak pernah kesampaian. Pelajar tersebut seakan-akan berjanji. Tapi hingga kini penulis tidak menemuinya semula. Wallahu a`lam.
Al marhum ayah penulis sendiri pernah bertemu dengan seorang tua berumur 120 tahun yang dikenali dengan nama ‘Cik Ku Mis’, yang mendakwa dirinya pernah menjadi rakan seperjuangan Mat Kilau. Semasa dikepung oleh penjajah masing-masing menyembunyikan diri selama seminggu dengan hanya berbekalkan bertih goreng sahaja. Bila ditanya apa lagi makanan lain, jawabnya zikrullah. Ini menguatkan lagi tekaan penulis bahawa mereka sebenarnya telah mencapai suatu mertabat maqam kerohanian yang tinggi.
Sayang sekali, kita generasi kini hanya mengenali mereka dari sudut yang tersurat sahaja, sebagai pahlawan, pejuang tanah air, bukan sebagai ulama’. Malah ada juga yang lebih jauh pergi dan bersetuju dengan anggapan penjajah dengan mengecap mereka sebagai penderhaka. Na`uzubillah.
Fakta-fakta begini amat perlu didedahkan semula pada generasi baru supaya mereka dapat menilai pensejarahan dalam suasana yang lebih cermat dan adil. Kalau tidak, tempat-tempat mereka berkubu hanya dilawati sekadar kesan sejarah biasa, tanpa sebarang ruh tarbiyyah. Cuba hubungkan dengan arahan Allah untuk manusia mengerjakan ibadat haji. Di hujung ayat:
“Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang berduyun-duyun dengan berjalan kaki dan mengenderai unta kurus, supaya mereka dapat menyaksikan sesuatu yang bermanfaat bagi mereka dan mengingati Allah pada hari-hari yang ditetapkan”.
Penulis sekadar mahu mengambil perkataan supaya dapat menyaksikan perkara-perkara yang bermanfaat bagi mereka. Mengikut setengah ulama’ ianya bererti menyaksikan kesan-kesan sejarah yang begitu tinggi nilainya dalam pembentukan jiwa seorang muslim mukmin. Sebab itulah dalam al Qur’an banyak ayat Allah menyuruh kita berjalan di atas muka bumi supaya mendapat banyak pengalaman dan pengajaran dalam hidup ini.
Kesan-kesan sejarah bukan sekadar untuk pameran, tetapi ia adalah suatu `ibar yang perlu diwarisi bersama. Kalau di tanah Arab dengan situasi kenabian yang perlu dihayati, maka tidaklah salah mengingati pewaris nabi dalam suasana tempatan agar dapat membina suatu semangat baru dalam menghayati Islam yang sama kita cintai.
Demikianlah manfaat yang diperolehi bila sekali-sekala minum bersama dan berkongsi cerita.
Tuesday, October 13, 2009
Jejak Pahlawan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment