Wednesday, October 14, 2009

Hebatnya Orang Lama

S
etelah lebih kurang dua jam menceritakan pengalaman pahit manis sebagai guru lepasan maktab, kemudian menjadi pengetua dan seterusnya menjadi Timbalan Pengarah KPPM sehingga membawa kepada persaraan, Dato’ Haji Abdul Raof bin Husin menyimpulkan bahawa tugas guru di sekolah amat besar dan ianya seperti suatu bengkel untuk membaikpulih peribadi-peribadi yang rosak. Seakan-akan terpampang di setiap buah sekolah suatu lebel yang begitu besar ‘Siapa yang rosak kemanusiaannya datanglah ke sini’.

Para peserta seminar seakan-akan terpukau dan tidak menyangka bahawa masa ceramah tokoh ini telah berakhir.

Penulis turut kagum, kerana selama dua jam ceramahnya. Tidaklah menggunakan nada suara hebat dan berdentum, malah suaranya lembut, mendatar, kadangkala hampir tidak kedengaran. Orang lama, itulah kelebihannya. Tidak untuk mempamerkan kehebatan ‘aku itu dan aku ini’. Apa yang ada ialah sekadar memaparkan imbasan pengalaman lalu, sambil membuat ulasan terhadap berita-berita akhbar mengenai kerosakan moral dan kemusnahan peradaban ilmu kini.

Di antaranya ialah mengenai bayi dicampak ke dalam sungai. Siapa yang bertanggungjawab. Nenek dirogol, guru disaman dan pelbagai berita lagi. Selari dengan paparan beliau membuat ulasan dan merujuk beberapa peristiwa lalu sambil menyatakan beberapa pesanan penting.

Antara pesanannya ialah:
• Untuk menjadi seorang guru kita mesti ada integriti.
• Selalu berhati-hati dengan tanggapan orang terhadap kerja guru adalah senang, banyak cuti. Kerana setiap kita perlu melihat kerjaya ini dari sudut disiplin keguruan itu sendiri..
• Kerja mestilah `Lillahi Ta`ala’, ingat bahawa Allah sentiasa melihat, perlu ada kekuatan Iman dan pengurusan mesti baik.
• Seandainya terdapat guru yang tidak sopan di sekolah, jangan terus disalahkan institut yang mengeluarkannya, tetapi selidiklah dulu secara terperinci.
• Setiap institut adalah pusat ilmu, untuk itu tradisi keilmuan ini perlu dipertahankan bersama.
• Tidak ada jawapan `tidak’ terhadap tugas. Masyarakat sentiasa menjadi hakim terhadap segala tindak tanduk guru.
• Tambatkan hati murid, kerana setiap murid adalah milik negara dan jangan merendahkan kerjaya perguruan. Setiap orang guru perlu ada skill of management.
• Elakkan daripada membuat persepsi terhadap pandangan pertama yang belum jelas kedudukannya,

Sepanjang perkhidmatan sebagai guru, beliau pernah mencabar pelajar dengan suatu ungkapan:

“If I am late, you go and see the principle, but if you late please get out from my classroom”.

Dalam suatu perbandingan beliau menyebut:

“Kesilapan doktor merawat hanya merosakkan seorang manusia, tetapi kalau guru silap mengakibatkan satu generasi rosak. Kadangkala guru asyik menghukum murid yang tidak ikut undang-undang, soalnya adakah guru sendiri sudah mematuhi undang-undang. Seburuk-buruk murid masih ada ruang untuk diperbaiki, kita memberi harapan kepada manusia yang memandang gelap pada dunia”.

“Kata orang, kalau bercakap dari hati akan didengari melalui telinga dan masuk ke hati, tetapi kalau sekadar untuk mempamerkan kehebatan, dari mulut masuk telinga kiri akan keluar telinga kanan”.

Selesai memberi ceramah, tokoh ini memberi peluang untuk satu dua soalan. Tidak ada orang bertanya.

“Malang, tidak ada orang yang bertanya”

Kata tokoh tersebut.

Penulis rasa tercabar dengan kenyataan spontan tokoh ini. Untuk itu penulis mengangkat tangan dan mengemukakan persoalan.

“Datuk, akhir-akhir ini kita sering mendengar kenyataan guru kurang asam, murid kurang garam. Bagaimanakah kenyataan ini andainya dihubungkan dengan situasi yang datuk sebutkan tadi?”.

Penulis sengaja mengeluarkan kenyataan yang agak kontroversi.

“Boleh tak Haji jelaskan sedikit maksud kenyataan tersebut”

Tiba-tiba tokoh tersebut mengemukakannya semula kepada penulis.

“Asam dan garam dilambangkan kepada pengalaman dan kemahiran dalam masyarakat Melayu. Dalam konteks ini bolehkah disinonimkan dengan pantun berburu ke padang datar?”.

Demikian jelas penulis.

“Terima kasih kepada persoalan, dan para pelajar sekelian inilah pensyarah anda yang amat bijak”

Sambut tokoh tersebut secara spontan. Pelajar memberi tepukan gemuruh. Penulis sudah menjangkakan ini seakan-akan bola tanggung. Akan ada masa untuk smash!. Memang tepat jangkaan penulis, lepas tu disebut kenapa dikatakan bijak.

“Kerana dia tanya, dia sendiri yang jawab!“

Jawab tokoh tersebut.

Bagai nak pecah dewan dengan ketawa para peserta. Penulis tidak kisah sangat. Apa yang penting, soalan adalah anak kunci kepada ilmu pengetahuan (miftahul ilmi). Tak tanya tak akan terbuka khazanah ilmu dan pengalaman yang tersimpan di dada tokoh ini. Dalam pendidikan kadangkala kita kena guna strategi tadhhiyyah (jadi mangsa/korban), malah ianya salah satu teknik dalam pendidikan.

Selepas itu beliau telah memberi respon yang amat berguna, antara yang disebut ialah berkaitan dengan integriti. Buah yang elok merupakan hasil daripada kehidupan yang berasaskan keikhlasan dan keredhaan. Kesemua sifat mahmudah yang dibekalkan oleh Islam sebenarnya sudah cukup untuk menggambarkan kehebatan seorang insan guru. Dari satu sudut lain, ertinya guru adalah segala-galanya. Lihatlah ungkapan yang sering dinyatakan:

Dalam ajarnya ada harapan
Dalam tegurnya ada doa
Dalam marahnya ada sayang
Dalam tawanya ada mesra
Dalam diamnya ada bijaksana
Dalam tangannya kita terbina
Berbahagialah menjadi guru.

Kalau pun tidak seterang mentari,
ia pelangi tetap mewarnai lelangit dunia.


Setelah majlis berakhir, penulis sengaja meninjau pendapat beberapa orang peserta seminar. Mereka seakan-akan sepakat mengatakan kehebatan tokoh veteran ini. Bila dikenangkan semula penulis teringat beberapa orang guru yang pernah mengajar penulis semasa bersekolah dulu. Zaman mereka tidaklah banyak bahan bantu mengajar yang canggih seperti sekarang. Tetapi hasilnya ialah kita semua. Ada yang menjadi YB, GB, pensyarah, arkitek dan sebagainya. Hubungan antara kami sangat rapat. Sehinggakan saat-saat perpisahan selalu sahaja kami hantarkan mereka dengan deraian air mata. Kata-kata mereka lebih masin daripada kata-kata ibu bapa. Sehinggakan ada ibu bapa yang sanggup menangguhkan kerja rumah untuk anak, semata-mata mahu anak-anaknya ke sekolah pada waktu petang.

Itulah hebatnya orang dulu. Penulis tidaklah bermaksud untuk bernostalgia. Cuma kadang kala terfikir, kalau orang dulu boleh buat dengan begitu baik dan sempurna, takkanlah kita generasi kini tak dapat. Pada kita peralatan serba canggih. Motivasi selalu diberikan. Pelbagai janji pula disediakan, tak mustahil kita juga akan jadi seperti mereka. Insya’ Allah.

Sekian, wassalam.



No comments:

Post a Comment