D
ua puluh sembilan Mac 2007:
Jam 1.30 tengah hari penulis bersama dengan Encik Mohamad bin Ngah, Ketua Jabatan Ilmu Pendidikan (IP) Institut Perguruan tempat penulis bertugas. Dari Institut ke Sekolah Kebangsaan Kuala Ping, Hulu Terengganu. Kami ditugaskan untuk memberi ceramah motivasi projek Pensiangan – Salinatan 2007.
Hujan renyai-renyai semasa memulakan perjalanan. Jam 2.10 petang kami tiba di tepi pagar Sekolah Kebangsaan Kuala Ping, Hulu Terengganu yang kebetulan di tepi jalan. Lapang dan sunyi, kereta belum ada. Tidak nampak tanda-tanda program akan diadakan.
"Eh jadi ke ni Mad?". Penulis bertanya kepada Ketua Jabatan IP.
"Ah baru pukul dua lebih! Biasalah tu, orang sini, kan hujan ni!". Jawab Ketua Jabatan Ilmu Pendidikan.
Oleh kerana zohor sudah lewat kami ke Mesjid Kuala Ping dulu untuk solat. Hujan sangat lebat, mungkin juga berdekatan dengan kawasan tadahan hujan... Tasik Kenyir.
Selesai solat kami ke sekolah semula dan sampai tepat 2.30 petang. Ada lima enam buah kereta di tempat parking. Orang ramai mula memenuhi dewan sekolah.
"Tak sangka! Ingatkan tak jadi!" Detik hati penulis. Rupanya mereka datang menepati masa. Hebat sekali dan jarang-jarang berlaku.
Kami disambut dengan begitu ramah oleh Guru Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan Kuala Ping, Cikgu Mazlan, bekas pelajar IPKT yang sudah empat belas tahun bertugas.
Tepat 3.00 petang program dimulakan. Encik Mohamad Ngah memulakan ceramah dengan memberi penerangan tentang latar belakang projek Pensiangan – Salinatan di samping mengutarakan pentingnya kecaknaan ibu bapa kepada para pelajar. Dua muka "slide" digunakan untuk keperluan ceramah dengan menggunakan beberapa kata kunci antaranya:
• Ambil tahu
• hormat
• sayang,
• ambil tahu,
• prihatin,
• disiplin,
• simpati dan
• mesra.
Di satu sudut lain para ibu bapa perlu:
• Peka kepada emosi orang lain
• Bersedia mendengar
• Prihatin dan memahami perspektif pandangan orang lain
• Memahami perasaan dan keperluan orang lain serta bersedia membantu
Apa yang penting ialah setiap ibu bapa perlu mengubah sikap daripada stail (style) lama kepada stail baru. Bahawa tugas ibu bapa bukan sahaja sekadar memberi makan dan pakai untuk anak, tetapi juga turut sama membelek buku dan merasai sama suasana persekolahan anak.
Andai dulu kita hanya menerima anak balik dari sekolah, sekarang kita perlu lihat kerja rumahnya, bercakap dengannya, memberi rangsangan supaya menjadi orang yang lebih baik daripada kita… hadirin memberi respon yang sangat baik.
Penulis menjadi orang yang kedua dan terakhir pada petang itu. Setelah dimuqaddimahkan penulis mengimbau kembali tentang nama-nama yang ada di sekitar Kuala Ping, antaranya Padang Setebu, Sungai Buluh, Tok Lawit, Pasir Simpul dan Kuala Jeneris (Jenderis!).
Nama-nama tersebut sangat dekat dengan penulis sejak tiga puluh atau empat puluh tahun dahulu. Ini kerana ayah penulis sendiri sebenarnya pernah bekerja sebagai penoreh getah di Kuala Ping. Siang hari menoreh, malam, mengunjungi orang-orang tua dan alim ulama' yang ada di sekitar perkampungan tersebut. Menurut ceritanya kawasan tersebut telah pun berjaya melahirkan ramai tokoh yang pernah mewarnai sejarah negeri Terengganu.
Raja Mandalika dengan Batu Bersurat yang ditemui di Hulu Terengganu dan pernah diisytiharkan penanda aras kedatangan Islam di Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia) bukan bermula dengan Melaka, tetapi di Terengganu.
Masih terngiang-ngiang di telinga penulis, ayah bercerita (hasil temu ramah ayah dengan orang-orang tua di sana), kata ayah, Kuala Jeneris, bukan sahaja sekadar nama pokok, tetapi nama seorang panglima di zaman Raja Mandalika yang bertanggungjawab membawa seorang ulama dari Tanah Besar Cina untuk menjadi penasihat Sultan ketika itu. Beliau juga orang yang bertanggungjawab sekaligus memertabatkan Islam di Terengganu dan menjadikan salah satu asas Terengganu untuk disebut Darul Iman. Cerita ayah.. penulis anggap sebagai tradisi lisan, tidaklah mampu untuk diketengahkan kerana padanya tanpa tarikh, tanpa bukti yang jelas. Penulis sekadar mampu menyebut ayah sebagai tukang cerita.. Apalah yang ada pada ayah, kesian...terlalu besar dan tinggi hasratnya untuk mengabadikan cerita-cerita tersebut agar diketahui oleh generasi akan datang. Namun penulis tidak mampu menyambungnya. Begitu juga tentang Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Pulau Manis dan sebagainya. Kesian, ayah yang terus berlalu dengan tradisi lisan yang sangat kaya. Penulis tidak mampu membuktikannya, namun di tahun-tahun kebelakangan ini telah dinovelkan dengan begitu cantik dan menarik oleh Cikgu Ali Jusoh, seorang novelis Terengganu untuk dipersembahkan dalam Sayembara Novel Sejarah anjuran Kerajaan Terengganu.
"Cikgu Ali orang kampung aku, sama-sama main dam dengan ayah aku, tapi dia orang yang berfikir".
Cetus Encik Mohamad Ngah dalam sembang kami sekembalinya dari Kuala Ping.
Ada satu lagi yang ayah pernah sebut daripada seorang tua yang dikenali sebagai Pak Omar, juga pernah ditemui oleh ayah... semuanya dah jadi arwah.
"Awang! Perhatikan, tempat ini satu masa nanti akan jadi laut"
Kata orang tua tersebut sambil menunjukkan satu arah. Kata-kata yang lahir tiga atau empat puluh tahun lalu, rupanya kini terbentang Tasik Kenyir. Masa itu belum lagi ada sebarang idea tentang Tasik Kenyir.
Semua ini penulis kira penting dikaitkan sebagai penceramah kedua untuk memberi motivasi kepada para ibu bapa agar mengambil berat bersama dengan guru-guru sekolah tentang pelajaran anak-anak mereka. Tempat yang dulunya ayah pernah pergi sebagai seorang buruh, penoreh getah untuk membesarkan anak-anak. Himbauan Batu Bersurat hasil karya Raja Mandalika dengan rakyatnya supaya menjadikan Islam terpahat kejap sebagai pegangan. Kalau mereka boleh mencipta sesuatu kenapa kita tidak?.
Namun jauh di hati sanubari penulis, ke mana hilangnya jejak dan keturunan Raja Mandalika? Takkanlah hilang begitu sahaja. Mana boleh raja yang begitu adil, terkenal tidak ada kuburnya? Yang ada hanyalah batu bersurat sahaja. Soalan yang tidak dapat dijawab. Soalan yang sama dikemukakan oleh Encik Mohd. Ngah kepada penulis...
"Entahlah mad!" Jawab penulis.
Kuala Ping, Padang Setebu, Tok Lawit, Kuala Jeneris (Jenderis!), sebenarnya amat banyak khazanah yang belum diteroka. Pensiangan - Salinatan adalah projek yang diperkenalkan oleh seorang bekas pengarah BPG sempena lawatannya di Sabah untuk dirasai, sangat teruja dari segi pengorbanan seorang guru yang sanggup bertugas di sana. Keterujaan tersebut dilahirkan melalui program Pensiangan - Salinatan. Paling tidak, berkongsi suka duka.. selebihnya teruskan perjuangan ke mercu jaya. Andai Raja Mandalika mampu meneroka sebuah sejarah, takkanlah langsung sejarahnya tidak bersambung..
Hingga di sini! Aduhai anak-anak generasi akan datang bangunlah di hari pagimu meskipun sudah petang buat kami. Barangkali Raja Mandalika tidak pernah meminta untuk dikenang, tetapi catatan batu bersurat tetap sebagai bukti yang terpahat.
Wednesday, October 14, 2009
Pensiangan Salinatan dan Jejak Raja Mandalika
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Salam
ReplyDeletecarilah keturunan tuk pulau manis utk ketahui sejarah dan makam raja mandalika.
Wassalam
Salam, saya pun ada kaji2 sikit, Raja Mandalika adalah nama raja islam siam (ayuthia), langkasuka... nama sbnr baginda Sultan Mad zafar Syah III, bukan raja terengganu asli, pemerintahannya meliputi siam, burma, utara semenanjung.... semua peninggalan kerajaan langkasuka telah musnah dihapuskan oleh raja thai skrg...
ReplyDelete