S
emasa membelek-belek kepelbagaian artikel dalam khazanah lama, penulis terjumpa dengan satu rencana bertajuk ‘Sebuah peringatan’. Artikel terjemahan oleh Abd. Razak Mahmud yang disiarkan dalam Majalah Pengasuh bilangan 524.
Lama penulis merenung artikel tersebut. Walaupun sudah agak usang, tetapi sangat berharga. Ia ditulis oleh pengarang Mesir yang terkenal, Mustafa Lutfi Manfaluti, menceritakan kisah sedih Amir Granada terakhir iaitu Sultan Muhammad XII yang digelar Abu Abdillah, selepas kalah dan terpaksa menyerahkan kunci pintu kota Granada kepada Maharaja Ferdinand dan Izabela, pada tahun 1492M/892H. Dalam keadaan menyesal baginda bersama dengan permaisuri, anak-anak dan para pembesar Bani al Ahmar dipaksa pulang ke Afrika Utara, meninggalkan tanah tumpah darah dan kerajaan yang didirikan oleh nenek moyangnya buat selama-lamanya.
Dengan penuh sayu sebelum turun ke kapal yang disediakan, baginda merenung kembali melepas pandang kepada kerajaan yang telah hilang itu. Berderai air mata mengenangkan segala-galanya berlalu dalam sekelip mata. Sehingga pantai itu digambarkan seperti pentas yang dibangunkan untuk saling meratap dan menumpahkan air mata. Mengikut Prof. Dr. HAMKA, tempat itu sampai sekarang dinamai ‘Air mata orang Arab yang akhir’ (Sejarah Umat Islam: m/s188).
Secara halus dan penuh bermakna Mustafa Lutfi Manfaluti menulis dalam rangkap-rangkap seterusnya, sesungguhnya telah lemahlah diri dan pendirian pada waktu itu, ketika ia tiba-tiba terdengar sebuah suara memanggil-manggil namanya, seolah suatu bisikan yang turun dari langit yang tinggi. Diangkatnya kepalanya lalu pandang matanya jatuh kepada seorang petapa tua yang sedang berdiri dengan menopang di atas sebatang tongkat, tercegat di hadapan sebuah gua sambil memandangya seraya berkata:
“Memanglah wajar bagi engkau menangis wahai raja yang telah kehilangan kerajaan, sebagai tangisan perempuan, kerana engkau sebenarnya tidak menjaga kerajaanmu dengan jagaan seorang lelaki, engkau banyak ketawa pada hari kelmarin, maka tangismu hari ini adalah sebagai imbangan di atas tawamu pada hari-hari tersebut. Kegembiraan adalah siang hari kehidupan manakala kedukacitaan adalah malamnya. Siang yang cemerlang tidak selamanya berterusan, melainkan diikuti oleh malam yang gelap pekat”.
Tertanya-tanya di hati penulis bagaimana agaknya menjaga kerajaan sebagai seorang lelaki. Agak-agak penulislah, mungkin bila disebut lelaki itulah yang diisyaratkan dalam al Qur`an sebagai ‘rijal’ (an Nur: 37) padanya ada kekuatan daripada dipengaruhi oleh unsur-unsur keduniaan, “pantang menyerah sebelum berperang”. Takutkan hari yang padanya ‘tataqallabu fihil qulub (padanya hati dan pandangan akan menjadi gusar)’. Tidak akan menzalimi dan tidak mengambil sesuatu kecuali dengan hak, sebagaimana jawapan Abu Zar kepada Sayidina `Umar al Khattab ketika ditanya:
“Adakah aku raja atau khalifah, jawab Abu Zar: Jika engkau mengambil sesuatu tanpa haknya maka engkau adalah raja, bukan khalifah”.
Dalam satu reaksi lain, Abu Zar pernah ditanya oleh Mu`awiyyah bin Abi Sufyan mengenai Istananya di Damsyik:
“ Jika anda membina istana berdasarkan duit rakyat, maka anda sebenarnya zalim, tetapi jika anda membina istana berdasarkan duit anda sendiri, maka sebenarnya anda seorang yang suka membazir”.
Berdasarkan dua kenyataan di atas seakan-akan terbayang bagaimana indah dan tercabarnya menjaga sebuah kerajaan sebagai lelaki.
Lagi-lagi petapa tua itu menyambung:
“Sekiranya kerajaan milik engkau itu hilang kerana mala petaka, kerana takdir, kecelakaan, qadha’ di mana engkau tidak berupaya menahannyanya serta tidak punya helah untuk mengatasinya, maka perkara itu lebih mudah. Ada pun kehilangan yang disebabkan oleh tangan engkau sendiri dengan cara engkau menyerahkannya kepada sang musuh dengan kerelaan sendiri, maka tangisanmu ke atasnya tidak ubah seperti seorang yang telah amat kecewa yang tidak akan memperoleh sebarang ucapan takziah dan simpati”.
Aduh terasa pedih dan tajamnya tikaman kata-kata ini. Mungkin kita semua terlibat dalam situasi ini. Kalau pun tidak dalam suatu negara yang besar, ianya wujud dalam rumah tangga. Bagaimana cara kita menjaga rumah tangga, paling tidak dari serangan pengaruh budaya luar yang melanda. Apatah lagi dalam konteks masyarakat dan negara. Bagaimana pula dengan kita yang sengaja menjemput budaya liar masuk dalam rumah tangga, sehingga berbangga dengan anak yang tidak segan silu mendedahkan aurat, derhaka kepada ibu bapa, malah sekaligus kepada Allah.
Dalam ungkapan lain petapa itu terus menyambung:
“Engkau tidak pernah merasa cukup dengan rezeki yang telah diberi Allah kepadamu, lalu engkau bersengketa dengan bapa saudaramu sendiri merebut takhta kerajaan dan kekuasaan. Engkau minta bantuan daripada musuhmu dan musuhnya juga, yang segera bertindak memanfaatkan peluang yang terbuka ini untuk melaga-lagakan kepalamu dengan kepalanya, sehingga mengalirlah darah yang kemudian menenggelamkan kamu berdua”.
Amat dahsyat bila dikenangkan kembali, betapa seorang yang dikenali sebagai Islam, begitu tamak kuasa sehingga sanggup menjemput musuh sekongkol untuk menjatuhkan sama sendiri demi nafsu serakahnya. Dan ini menjadi semacam tradisi sesebuah kerajaan untuk menegakkan kekuasaannya sehingga petapa itu mengulangi:
"Engkau telah berseteru di antara sesama kamu, di mana setiap orang dari kamu saling memerangi saudaranya yang lain. Maka jadilah orang-orang muslimin terseret kekancah peperangan sesama sendiri. Sedangkan para musuh sentiasa memerhati peristiwa itu dari belakang, sambil menunggu-nunggu kekalahan kamu. Dia melihat bagaimana panglima-panglima kamu berjatuhan sesama sendiri, lemah dan hina. Pada saat-saat seperti inilah mereka menyerbu kamu, lalu dengan hanya satu atau dua pukulan, mereka sudah mencapai kemenangan mutlak ke atas kamu”.
Inilah yang dikatakan sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Banyak negara yang dulunya diasaskan melalui pembinaan ketamaddunan ilmu yang begitu tinggi, tetapi para pewarisnya kemudian tidak dapat mengekalkan disiplin yang telah diletakkan oleh Allah. Pemikiran yang dulunya tertumpu kepada keilmuan dan kerohanian yang tinggi, bertukar kepada tamak dan gila kuasa, pangkat dan harta yang bersifat rendahan. Benarlah apa yang disebut oleh Ibnu Khaldun ‘Kekayaan adalah merupakan kedewasaan sesuatu ummah’. Bila dah kaya, lupa daratan jadi nyanyuk, bermulalah zaman keruntuhan satu persatu. Sehinggakan selepas itu azan yang dulunya bergema di masjid sudah berganti dengan gemercingan loceng. Masjid sudah bertukar menjadi gereja, paling tidak hanya sekadar muzium sahaja.
Teringat penulis dengan sejarah Bosnia-Herzegovina, keturunan yang tinggal akibat penghapusan ummat Islam di sana. Ada di antaranya, bila ditanya mengenai Islam mereka tidak dapat menceritakan apa-apa cuma menunjukkan biji-biji tasbih sebiji seorang (bukan rangkaian biji tasbih) yang dipusakai daripada datuk nenek mereka, sedangkan mereka sendiri tidak tahu apa pun mengenai Islam.
Sehingga di akhir petapa itu menyebut:
“Allah akan bertanya kamu wahai Bani al Ahmar, tentang diriku dan anak-anakku yang telah kamu rampas dari tanganku dalam keadaan aku sangat-sangat memerlukan mereka. Lalu kamu seret mereka ke medan-medan perang untuk untuk membunuh sesama mereka orang-orang Islam – suatu peperangan yang tidak ada nilai kemuliaan dan kemegahan langsung padanya, sehingga mereka semuanya mati dalam kedaan hina dan penuh noda. Engkau tidak mengizinkan mereka tinggal di sampingku untuk aku dapat bermesra dengan mereka pada waktu aku gelisah, atau untuk aku mendapatkan pertolongan mereka pada hari tuaku, juga engkau tidak membawa mereka kemedan-medan pertempuran yang diredhai, sehingga aku dapat mengucapkan takziah kepada mereka kerena mati sebagai pejuang agama dan tanahair”.
“Beginilah aku hidup sekarang selepas peninggalan mereka, sendirian di dalam gua batu yang suram sambil meratap atas kehilangan mereka. Aku pohonkan pada Allah agar aku dapat bersama mereka, maka bilakah Allah akan memperkenankan doaku?”.
Mustafa Lutfi Manfaluti menutup bicara dengan petapa itu berjalan masuk ke dalam gua kediamannya. Amatlah meresap kata-katanya ke dalam hati bekas amir itu, melebihi rasa kehilangan kerajaan dan kejatuhan takhtanya. Maka berkatalah ia dengan suara lantang:
“Bukanlah ini suara manusia biasa, akan tetapi adalah suara keadilan Ilahi yang mengancam aku dengan kecelakaan-kecelakaan mendatang, lebih daripada kecelakaan lepas. Allah bukan sahaja berbuat apa yang dikehendakinya ke atasku kerana keadilannya adalah meliputi perbuatannya”.
Persoalannya sekarang, sejauh manakah suara-suara begini mampu menembusi tembok-tembok para pemimpin dan umara’. Sejauh manakah gegendang telinga mereka ditusuk dengan kata-kata begini selalu. Sebab itulah program muhasabah amat diperlukan setiap masa demi mengekalkan suara keadilan Ilahi di atas muka bumi.
Penulis sendiri pernah mendengar dari seorang tok guru, tentang seorang raja di salah sebuah negara di Asia Tenggara ini yang memelihara anjing. Kemudian baginda bertanya hukumnya kepada seorang ulama’. Dengan jujur ulama’ itu menerangkan bahawa anjing hukumnya najis mughallazah. Rupanya di sebalik peristiwa itu, raja menjadi marah dan bertindak menyembelih anjing tersebut, kemudian digulai dan setelah itu dihidangkan kepada ulama tersebut. Tanpa mengesyaki apa-apa ulama tersebut memakannya. Tidak lama selepas itu negara tersebut telah menerima laknat Allah dengan ditenggelamkan dari muka bumi ini. Sehingga kini, penulis masih tercari-cari manakah negara itu?. Ada juga dalam sejarah penulis mendengar kisah istana raja yang pernah karam di sebuah negara jiran, tetapi tak berani pulak nak teka.
Benarlah sabda Nabi s.a.w.: “Permuliakanlah para ulama’ kerana mereka adalah pewaris para nabi” . Di mana-mana sahaja peranan ulama’ perlu dibangkitkan setiap masa. Kita bagaimana?, Kalau tak mampu jadi ulama’,.jadilah pembantu ulama’ dan jangan sekali-kali menjadi penentang ulama’. Cantiknya kita juga sentiasa berfikir untuk mempastikanlah dunia ini tidak akan kosong daripada para ulama’ yang syar`iey, haraki dan jama`iey.
Sekian, wassalam.
Wednesday, October 14, 2009
Rahsia Sebuah Peringatan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
salam ustaz. Maaf ingin bertanya,
ReplyDeletebagaimana yang dikatakan ulama' yang syar'iey, haraki dan jama'iey tu...
Mereka yang mampu membawa apa yang disyari`atkan bukan sekadar fakta yang tercatat dalam kitab, tetapi bergerak menjadi kenyataan dalam kehidupan berjama`ah secara komprehensif.
ReplyDelete