Saturday, October 17, 2009

Pemimpin Wibawa Warisi Kepimpinan Rasulullah

R

AMAI yang mungkin tidak menyedari hubung kait pemilihan pemimpin negara dan sebuah parti politik yang menjadi teras kepada kerajaan hari ini, jika mereka tidak memahami sistem politik kepartian di Malaysia.
Pemilihan pemimpin parti politik sebenarnya memberi bayangan kepada kepemimpinan masa depan negara


Oleh itu, mengaku bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam dan dunia umumnya, mengiktiraf pengakuan itu, sedikit sebanyak proses pemilihan dan pemimpin akan dinilai dan dianalisis dari sudut sejauh mana ia bertepatan dengan kriteria penetapan proses pemilihan pemimpin yang digariskan oleh Islam.

Apabila membicarakan ciri kepemimpinan pada seseorang pemimpin dari perspektif Islam, kita tidak boleh lari daripada prinsip kepemimpinan dalam Islam. Iaitu kita semua adalah pemimpin dan akan dipersoalkan di akhirat kelak atas apa yang dilakukan atas kepemimpinan kita. Bukan itu saja, malah kita akan dipersoalkan mengenai siapa yang dipilih dan dijadikan panduan sebagai pemimpin.

Firman Allah bermaksud: "Dan Allah telah melantik kamu sebagai khalifah di atas muka bumi, maka Dia akan melihat apakah yang kamu kerjakan." (Surah al-A'raf, ayat 129)

Ini disokong oleh hadis Rasulullah yang bermaksud: "Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan disoal mengenai apa yang dipimpinnya."

Antara soalan paling awal ditanya dalam kubur oleh Mungkar dan Nangkir adalah mengenai siapakah yang kita ikuti sebagai pemimpin ketika hidup. Jika salah memilih, di akhirat kelak pemimpin itu tidak dapat membantu kita. Kita juga tidak dapat membantu pemimpin itu atas kesalahan kita bersubahat dalam kepemimpinannya.

Justeru, menjadi kewajipan kita sebagai umat Islam untuk memilih pemimpin yang benar-benar layak menjadi pemimpin. Ia perlu mengikut lunas Islam dan mengambil kira keadaan dan realiti politik serta kaedah memilih pemimpin pada zaman ini.

Dalam Islam ada banyak panduan dan penilaian bermutu yang boleh dirujuk dalam memilih orang yang akan dipilih atau lantik sebagai pemimpin. Namun, agak rumit untuk menjawab persoalan ini, jika kita menutup minda kepada idealisme sesetengah mereka yang mendakwa bahawa kaedah memilih dan pemimpin yang dipilih hari ini tidak menepati kehendak agama.

Idealnya, pemimpin Islam adalah seperti yang ada pada kepemimpinan Nabi Muhammad saw, sahabat dan empat khalifah yang memerintah selepas Baginda wafat.

Idealisme kepemimpinan Islam sebegitu tidak dapat nafikan. Hakikatnya, mampukah masyarakat hari ini melahirkan seorang pemimpin seagung dan sehebat itu dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira kekurangan dan kelemahan pada masyarakat hari ini?

Dalam keterbatasan inilah semua yang terbabit seharusnya tidak mengenepikan nilai kepemimpinan yang ditetapkan oleh Islam.

Kita mesti mengakui hakikat bahawa generasi Islam hari ini sangat berbeza daripada waktu kegemilangan Islam dulu. Perlu diingat bahawa keadaan sosial politik pada hari ini juga jauh berbeza daripada zaman dulu.

Peredaran zaman berserta kemajuan yang dicapai dalam tamadun zaman ini, terutama apabila dunia menjadi begitu kecil sekarang berbanding dulu memerlukan kita menilai semula pendekatan kita. Kita perlu mengambil pendekatan pragmatik bagi membolehkan mencapai kegemilangan ummah seperti ummah terdahulu tanpa mengenepikan nilai kepemimpinan Rasulullah.

Dalam konteks ini, keutamaan harus diberi kepada menjayakan proses pemilihan pemimpin yang menepati ciri penting kepemimpinan Rasulullah iaitu siddiq (benar), amanah (jujur), tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana). Ia juga boleh dirungkaikan kepada beberapa ciri terbitan (generic) lain seperti adil, berwibawa, telus, berintegriti, terbuka, berpandangan jauh, cekap, bersih dan berhemah.

Penganalisis politik, umumnya, mengakui bahawa 'politik wang' adalah sesuatu yang menjadi penyakit dalam sistem politik kepartian hari ini. Sesungguhnya gejala ini adalah sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam dan amalan politik serta keperibadian Rasulullah.

Politik wang sesungguhnya melanggar keempat-empat prinsip asas keperibadian Rasulullah dan nilai terbitan lainnya.

Sebagai seorang pemimpin dan pemilih pemimpin, seharusnya dihindari golongan yang mengamalkan pendekatan politik kebendaan seperti itu. Sesungguhnya sesiapa yang terus mengamalkan dan terbabit dengan perkara sedemikian adalah golongan yang akan memusnahkan kepemimpinan negara pada masa depan.

Pemimpin di kalangan yang korup akan pasti menjerumuskan masyarakatnya dalam kemelut korupsi juga.

Ada juga pemimpin dan pelobi yang menggunakan pendekatan mengadu-domba, memfitnah, memburukkan peribadi saingannya bagi menjamin kemenangan diri dan pemimpin yang disokong nya. Ini juga jelas melanggar tata cara memilih kepemimpinan dalam Islam seperti yang boleh diwarisi daripada Rasulullah.

Ajaran Islam jelas melarang kita daripada mengambil pendekatan yang boleh mengancam perpaduan ummah, mengaibkan sesama Islam serta mengamalkan fitnah. Amalan sedemikian pastinya mencerna permusuhan, perbalahan dan menghakis kekuatan umat Islam.

Sejarah Islam banyak mencatatkan peristiwa yang boleh dikaitkan dengan amalan yang terpesong ini. Empayar dan kegemilangan Islam runtuh berikutan amalan itu. Oleh demikian, seharusnya dalam proses pemilihan pemimpin dan bakal pemimpin negara, kita sama-sama memastikan supaya gejala sedemikian tidak berlaku.

Seperkara lagi, sebagai umat Islam, dalam suasana sekarang istilah berkempen seharusnya dihiasi dengan pendekatan semangat dan roh tabligh Rasulullah. Baginda menganjurkan kepada kebenaran dan mencegah kemungkaran dalam menonjolkan kepemimpinan negara.

Penyampaian melalui kempen dan kegiatan melobi mestilah bersandarkan kepada nilai yang diwarisi daripada Rasulullah. Bertepatan dengan saranan pemimpin negara, kempen seharusnya dilakukan dalam suasana penuh hikmah dan bertertib. Perkara sedemikian supaya ia dapat dijadikan contoh kepada umat Islam lainnya, di samping memperlihatkan kepada dunia bahawa kepemimpinan dan nilai Islam sesungguhnya sempurna dan unggul.

Selain keperluan menepati ciri berteraskan prinsip sifat Rasulullah, dapat disimpulkan bahawa dalam suasana pemilihan pemimpin, seharusnya memilih pemimpin yang;
• Mampu berkomunikasi dengan berkesan sesama sendiri (masyarakatnya) dan dengan masyarakat lain sekelilingnya.
• Mempunyai ketajaman fikiran, pragmatis dan berpandangan jauh.
• Mempunyai pertimbangan praktikal dalam mengambil langkah yang boleh mengancam kekuatan masyarakat dan negara yang mereka pimpin.
• Mampu membina kekuatan masyarakat yang mereka pimpin dari semua aspek ekonomi, psikologi, dan sebagainya.
• Mampu memperoleh sokongan padu dan tidak berbelah bahagi dari setiap lapisan masyarakat yang dipimpin, termasuk bukan Islam.
• Mampu mewujudkan pentadbiran yang cekap dan berkesan.
• Bijaksana dalam mengambil sesuatu tindakan dan keputusan yang membina keutuhan dan perpaduan masyarakat yang dipimpin.

Sebagai seorang Islam dan rakyat Malaysia, kita sama-sama bertanggung jawab ke arah menegakkan nilai yang dianuti ini demi memartabatkan Islam sebagai addin.

Pada pandangan Islam adalah penting kita berpesan-pesan dan bertindak di atas kebenaran dan mencegah kemungkaran. Rasulullah bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Allah meredai kamu dalam tiga keadaan: yang menyembah-Nya dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu; yang berpegang dengan tali-Nya sepenuhnya dan tidak berpecah-belah; dan yang nasihat-menasihati wali-wali Allah dan pemerintahnya."

Di samping itu, perlu diingat, menjadi pemimpin bukan satu keistimewaan tetapi adalah amanah Allah dan wadah bagi memikul tanggungjawab berat.

Pemimpin Islam mesti mempunyai keimanan serta ketaatan kepada Allah, kekuatan peribadi, kepintaran, ketabahan dan ketegasan. Orang yang dikuasai nafsu dan lemah iman tidak layak memimpin kerana akan merosakkan negara, masyarakat yang dipimpinnya dan ummah keseluruhannya.

Mohd. Roslan Mohd. Saludin
Fellow
12/08/2004 | Berita Harian

1 comment:

  1. penulisan yang berasas ini amat baik untuk dijadikan panduan..

    ReplyDelete